APA PERBEZAAN TUDUNG BAWAL DAN SHAWL
Dengan pelbagai pilihan dan lambakan hijab di pasaran, pasti mengelirukan terutama anda yang mementingkan gaya dan keselesaan. Terdapat variasi jenis hijab dari segi material, rekaan serta jenama. Tambahan lagi, penggayaan tudung yang bermacam cara, seiring dengan fesyen hijabi terkini. Namun begitu, tudung bawal dan shawl kekal menjadi pilihan kebanyakan gadis. Terpulang pada style dan karakter anda, tudung bawal atau shawl yang menjadi pilihan. Tudung bawal vs shawl merupakan perdebatan yang telah berterusan buat sekian lama. Demikian itu, apakah perbezaan antara tudung bawal dan shawl? Di sini akan dikongsikan beberapa perbezaan antara tudung bawal dan shawl yang mungkin telah menjadi tanda tanya anda selama ini.
BENTUK DAN UKURAN
Tudung bawal berbentuk segi empat sama atau berbucu bulat/half-moon. Terdapat beberapa saiz atau bidang bagi tudung bawal. Antara nya bidang 45, bidang 50 dan bidang 60, bergantung kepada saiz atau kelebaran tudung bawal yang anda selesa.
Shawl pula berbentuk segi empat tepat atau separa bulat/half-moon. Shawl juga mempunyai saiz dan ukuran yang berbeza, mengikut citarasa anda. Jika anda menyukai shawl labuh, terdapat jenama yang menawarkan shawl bersaiz M-XL.
MATERIAL
Secara amnya, tudung bawal dan shawl ditawarkan dalam bentuk fabrik yang berbeza. Terdapat tudung bawal diperbuat dari kain cotton, chiffon, satin dan satin silk. Begitu juga dengan shawl, terdapat variasi fabrik yang boleh dipilih mengikut kesesuaian dan keselesaan anda.
CARA PEMAKAIAN
Ha, inilah bahagian yang paling rumit sekali. Tudung bawal pada dasarnya sangat senang dipakai. Hanya perlu dilipat dua menjadi tiga segi, dan pin bawah dagu. Juntaian tudung boleh dikemaskan mengikut keselesaan anda. Boleh pin sebelah di atas kepala, sebelah di bahu. Boleh juga kemaskan juntaian tudung di hadapan dan sarungkan cincin di juntaian tudung. Terpulang pada gaya anda yang tersendiri.
Shawl pula sebaliknya. Lebih kemas dan cantik jika juntaian shawl di kedua-dua belah dikemaskan. Samada dililit kemas atau di selimpang kiri dan kanan. Malahan, anda juga boleh menggayakan shawl mengikut trend terkini dan tutorial dari hijabist terkenal di social media.
TEMPOH MASA UNTUK BERSIAP
Bagi pemakaian tudung bawal, anda tidak perlu melilit seperti shawl. Namun, perhatian penuh perlu diberi ketika menggosok tudung bawal, tidak boleh kedut apatah lagi di bahagian muka. Kalau tudung bawal tidak menjadi, maka murung lah si gadis seharian.
Bagi pemakaian shawl pula, bergantung pada jenis fabrik. Ada yang perlu digosok dan ada yang tidak perlu. Namun begitu, shawl tidak perlu digosok dengan teliti kerana shawl lebih senang dibentuk.
KELEBIHAN DAN KEKURANGAN TUDUNG BAWAL
Tudung bawal merupakan gaya klasik yang tak lapuk dek zaman; kekal sopan bergaya sepanjang masa. Ia juga senang dipakai, hanya sarung dan lipat. Material yang sejuk dan juga rekaan yang kemas dan formal menjadikan anda kelihatan awet muda.
Namun begitu, tudung bawal kebiasaannya diperbuat dari fabrik yang perlu digosok. Agak leceh dan mengambil masa. Rekaan dan stylepemakaian juga agak terhad. Terdapat juga tudung bawal dari fabrik jenis jarang, agak sukar bagi hijabi untuk menutup aurat dengan sempuna.
KELEBIHAN DAN KEKURANGAN SHAWL
Shawl merupakan trend masa kini yang boleh digayakan dengan pelbagai cara secara kreatif. Kebanyakan shawl bercorak diperbuat dari fabrik yang tidak perlu digosok. Sangat sesuai digayakan terutama ketika bercuti. Dengan variasi corak dan design, ia juga ditawarkan dalam lingkungan harga yang berpatutan. Shawl sangat sesuai digayakan oleh si gadis yang mementingkan style terkini.
Walaubagaimanapun, pemakaian shawl memerlukan banyak jarum peniti dan kerongsang. Agak leceh dan renyah bagi anda yang inginkan gaya yang simple. Jika tidak kena dengan gaya, muka yang bulat boleh kelihatan seperti pinggan. Jika anda tidak mahir memakai shawl, anda mungkin kelihatan serabai dan tidak kemas. Pilih lah jenis shawl yang sesuai dengan anda.
Comments
Post a Comment